Assalamualaikum w.r.t
Tinggal lebih kurang 10 min semasa entri ini ditulis sebelum 2012 melabuhkan tirainya. Rata-rata pasti sedang menunggu detik 2013 menjelma. Pelbagai cara sambutan yang diadakan. Tetapi pada Te-Yan, setiap tahun sepastinya silih berganti. Tidak perlu kita menyambut secara besar-besaran. Cukuplah sekadar memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana masih dipanjangkan umur sehingga ke saat ini.
Sudah pasti tahun 2012 meninggalkan banyak kenangan pahit dan manis dalam kehidupan kita semua. Malah kita juga sentiasa mensasarkan azam baru setiap tahun. Pedulikan sekiranya tercapai atau tidak. Setidak-tidaknya kita sudah menetapkan sasaran untuk kehidupan yang lebih baik setiap tahun.
Rentetan 2012 banyak meninggalkan kenangan manis pada Te-Yan. Alhamdulillah di atas rezeki yang dikurniakan oleh Allah. Ianya bukan satu tiket untuk Te-Yan berbangga dengan apa yang diperolehi, tetapi sebagai satu semangat untuk lebih berusaha ke arah yang lebih baik dalam kehidupan. Sebagai satu azimat untuk sentiasa mensyukuri nikmat kurniaan Allah. Sebagai satu benteng supaya tidak sombong atau bongkak dengan nikmat kurniaan Allah.
Tersenyum seketika bila ingat semula semua yang berlaku sepanjang tahun 2012. Dapat tugas baru sebagai penasihat Kelab Tenis sekolah. Dan hasilnya hampir semua pemain tenis yang mewakili sekolah merangkul kejuaraan. 6 orang pula mewakili sekolah sehingga ke peringkat negeri. Satu pencapaian yang amat membanggakan walaupun usia kelab setahun jagung.
Tahun 2012 juga Te-Yan merasa menjadi pembentang kajian tindakan di hadapan lebih kurang 200 orang peserta. Tuhan sahaja yang tahu perasaan itu. Berdebar dan kadang kala sampai tidak percaya kepada diri sendiri "Mampukah aku lakukan...?". Tetapi Alhamdulillah, Te-Yan dapat lakukan yang terbaik. Satu perkongsian ilmu dalam bidang perguruan untuk perkongsian bersama. Alangkah indahnya saat itu apabila melihat pelbagai kajian dan teknik pengajaran dan pembelajaran dapat dikongsi bersama khas untuk anak bangsa.
Tahun 2012 juga boleh dikatakan pencapaian yang agak baik juga bagi Te-Yan dalam bidang perguruan. Hmmm Te-Yan dapat APC untuk tahun itu berdasarkan pencapaian tugas di tahun 2011. Alhamdulillah. Rezeki Te-Yan tahun itu. Terdetik juga kerisauan dalam hati memandangkan APC ini kadangkala boleh menimbulkan isu. Almaklumlah, Te-Yan masih baru di sekolah ini. Dalam tempoh 3 tahun sudah terima APC. Masih lagi ada rakan seperjuangan di sekolah yang sama masih tidak mendapat APC. Namun Te-Yan sentiasa berfikiran positif. Seandainya sudah tersurat rezeki itu milik kita, maka ia pasti akan menjadi milik kita, dan sekiranya sudah tersurat rezeki itu bukan milik kita, maka ia tetap bukan milik kita. Te-Yan jadikan anugerah itu satu batu loncatan untuk Te-Yan terus berjaya dalam bidang perguruan ini. Maltlamat tetapkan dalam hati.
Dari segi kerenah pelajar, tahun 2012 memang mencabar bagi Te-Yan sebagai seorang pendidik. Mengajar dua kelas untuk mata pelajaran ICT. Tetapi pelajar SPM 2012 tahun itu memang mencabar kesabaran Te-Yan sebagai seorang guru. Memang tahap kesabaran diuji. Kiranya dengan kelas ini jugalah terciptanya sejarah apabila Te-Yan menghempas pintu kelas disebabkan sikap mereka yang betul-betul menguji kesabaran sebagai seorang guru. Namun bukan semua individu dalam kelas itu berperangai sedemikian rupa. Hanya segelintir. Tetapi bak kata pepatah, disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga. Tapi Te-Yan teruskan usaha untuk mereka terbuka mata dengan apa kelebihan yang mereka ada. Bayangkan SPM semakin menjelma tetapi sikap masih sambil lewa. Dengan insiden rajuk merajuk, insiden tidak menghormati guru, hanya kesabaran menjadi bentengnya. Bukan apa, kesian pada rakan sekelas yang lain. Ingin belajar tetapi ada gangguannya. Namun sebagai guru, Te-Yan harapkan mereka sudah lakukan yang terbaik untuk SPM yang lalu. Bukan untuk Te-Yan tetapi untuk masa depan mereka.
Alhamdulillah, tahun 2012 baru Te-Yan sedar, kehadiran bekerja Te-Yan adalah penuh 100%. Dapat hadiah kehadiran penuh semasa jamuan HiTea. Terkejut dan terharu. Sepanjang tahun 2012 tu rupanya Te-Yan tak pernah ambil cuti sakit atau cuti rehat. Syukur padaMu Ya Allah kerana telah memberikan rezeki kesihatan yang baik kepada hambaMu ini. Mudah-mudahan di tahun 2013 juga Kau berikan aku dan keluargaku kesihatan yang baik.
Penghujung tahun 2012 sekolah di semuruh Malaysia juga digegarkan dengan fenomena "KATAK BIRU". Kalau ke kedai buku pun, penjual buku pun tahu. Kalau ke kedai banner, pembuat banner pun tahu. Hebat juga penangan si katak biru ni. Semput juga lah Te-Yan dan kengkawan yang sama-sama terlibat ni. Apa ye katak biru ni..Kalau nak tahu, katak biru ni merupakan satu platform pembelajaran secara maya. Satu pakej yang disediakan oleh pihak pembekal internet oleh YTLC iaitu YES 4G. Dulu sekolah pakai schoolnet. Sekarang dah ditukar kepada 1BestariNet yang menggunakan talian terpantas YES 4G. Jadi dibekalkan sekali dengan platform VLE Frog atau Virtual Learning Environment Frog. Satu platform pembelajaran yang sangat bagus. Interaktif. Dan sekolah Te-Yan juga menjadi johan kategori sekolah menengah untuk platform ini. Jadi besar kemungkinan kami akan mewakili negeri ke peringkat Kebangsaan. Dengan si katak biru ini jugalah Te-Yan berpeluang mengenali rakan-rakan guru yang sangat komited dengan platform ini. . Kesungguhan mereka menjadikan kami semua sangat rapat. Segala masalah berkaitan dengan fenomena baru ini pasti akan dikongsi bersama. Terima kasih juga kepada pihak PMO,YTLC, JPN dan PPD yang terus memberikan sokongan agar pembelajaran baru ini dapat digunakan dengan penuh interaktif bermula 2013. Khas buat Amyza Md Zin dan Azmi Hj Muda, semoga impian kita dan rakan-rakan untuk melihat 1BFVLE berjaya akan terlaksana di tahun 2013. Sayang kamu berdua. Yang penting jangan mengalah dan teruskan komitmen kita khas untuk anak didik kita semua.
Selamat tinggal 2012, Selamat Datang 2013.