Saturday, May 17, 2014

~Hari Guru 2014 : Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi~

Assalamualaikum w.r.t



Semalam, 16 Mei 2014 merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh semua guru di Malaysia sebab tarikh ini sememangnya khas untuk meraikan jasa guru-guru di Malaysia. "Guru: Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi". Itu lah tema yang telah dipilih untuk tahun ini. 

"Guru memainkan peranan penting sebagai penggerak agen perubahan yang sentiasa kreatif dan inovatif, mempunyai ketrampilan yang tinggi dari segi personaliti, mempunyai pemikiran yang luas dan strategik serta mampu mencetus ledakan ilmu yang dapat diterapkan kepada murid bagi membolehkan mereka menghbungkan pelbagai disiplin ilmu untuk mencipta ilmu yang baharu bertaraf dunia.

Membudayakan inovasi merupakan agenda berterusan dalam gelombang transformasi pendidikan bagi melahirkan generasi muda yang bersedia mencapai kecemerlangan dalam persekiratan yang kompetitif secara global. Keupayaan warga pendidik menyediakan peluang kepada murid bagi mendapat pengalaman pembelajaran leboh bermakna, pengalaman pembelajaran dalam menyelelesaikan masalah, kreativiti dan pemikiran kritikal dilihat mampu meningkatkan kemahiran murid yang dapat berfikir secara kritis dalam konteks akademik dan persekitaran kehidupan sebenar."

Dua perenggan di atas ini merupakan antara huraian tema hari guru pada tahun ini. TeYan amat tertarik dengan ayat "kreatif dan inovatif", "membudayakan inovasi", "menyediakan peluang kepada murid" yang sememangnya menjurus kepada gaya pendidikan pada zaman kini. Zaman pendidikan yang berteraskan teknologi. Tak kiralah walau pun di mana kita berada, rata-rata kita akan melihat keupayaan pelajar mengeksplorasi dan menggunakan gadjet terkini. Tanpa perlu diajar oleh guru, mereka boleh mengaplikasikan segala teknologi ICT secara "self access learning". Jadi sebagai guru tidak salah kita cuba untuk menjadikan kita seorang guru yang kreatif dan inovatif dalam meningkatkan kemahiran kita menggunakan teknologi dalam PdP. Cuba pelbagaikan kaedah yang ada sekarang ini untuk menjadikan pengajaran kita lebih menarik dan tidak membosankan pelajar. Cuba kita beri peluang kepada murid untuk membudayakan teknologi. Ini bukan bermaksud kita membiarkan murid untuk mengeksplorasi tanpa batasan. Sebagai guru kita juga bertanggungjawab untuk memberitahu atau memaklumkan kepada murid batas-batas dalam dunia tanpa sempadan ini. 

Sebagai Guru Penyelaras Bestari di sekolah, TeYan memang akan cuba sedaya upaya untuk mendedahkan semua guru, pelajar dan ibu bapa di sekolah dengan teknologi terkini dalam dunia pendidikan. Tidak kira guru itu masih muda setahun jagung dalam dunia pendidikan ataupun sudah menjadi "otai" atau guru senior dalam dunia pendidikan, tidak semestinya menolak mentah-mentah teknologi yang boleh memberikan impak yang terbaik dalam kaedah pengajaran kita sebagai guru. Kita seharusnya berani untuk mencuba sendiri, sekurang-kurangnya kita tahu untuk menggunakannya. Masih teringat dengan kata-kata seorang sahabat " Jangan hanya tahu teori sahaja. Kita perlu guna, baru kita boleh tahu". Ya memang betul. Kalau setakat pandai berkata-kata dan hanya bercakap berlandaskan teori sahaja, mana mungkin kita akan tahu kelebihan atau kekurangan sesuatu teknologi itu. Ambil peluang yang ada untuk mempelajari sesuatu yang baru. Jangan sehingga kita ini dikatakan ketinggalan zaman. 

Dalam tempoh dua tahun ini, rata-rata semua sekolah di Malaysia telah dibekalkan dengan satu platform pembelajaran secara maya yang dikenali dengan Frog VLE. Sebelum adanya Frog VLE ini, TeYan dah banyak menggunakan pembelajaran maya seperti ini bermula dengan NiceNet, kemudian Edmodo, LMS dan seterusnya Frog VLE. TeYan cuba semua kaedah ini dan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran TeYan. Tahun 2009-2010, TeYan menggunakan Nicenet dalam proses PdP. Tahun 2011 pula memperkenalkan Edmodo kepada murid. Dan tahun 2012 hingga kini TeYan memang menggunakan Frog VLE sepenuhnya dengan murid. Setiap aplikasi yang kita guna mesti ada kebaikan atau kelemahannya. Tapi sebagai guru, kita perlu ada rasa usaha untuk mencuba dan mempelbagaikan kaedah pengajaran kita supaya lebih kreatif dan inovasi.

Dalam tempoh ini memang TeYan dapat melihat perubahan di kalangan murid dan juga guru di sekolah. Murid menjadi lebih kreatif kerana mereka dapat mengeksplorasi perkara baharu yang melibatkan ICT. jadi proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih mudah. Guru pula sudah berusaha untuk mempertingkatkan kemahiran ICT secara berperingkat. Walaupun masih ada lagi yang agak kurang mahu untuk menggunakan teknologi, tetapi TeYan ambil itu sebagai satu cabaran untuk terus memberikan yang terbaik kepada guru-guru di sekolah. Tidak perlu memaksa guru tetapi kita boleh gunakan pendekatan yang lebih mesra pengguna untuk menarik perhatian guru supaya membudayakan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran.

In Sha Allah, TeYan akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik buat warga sekolah dan berkongsi ilmu dengan rakan-rakan guru di Malaysia. Jangan takut dengan teknologi kerana kita yang mengawal teknologi itu. Jika kita gunakan dengan sebaiknya, maka baiklah kesannya.Tepuk dada tanya hati cikgu-cikgu semua. 

Kepada semua guru-guru dan para pensyarah yang pernah mengajar TeYan sejak dari tadika (Tadika Kemas Kem Penrissen Kuching Sarawak), sekolah rendah (SRMJDI Kuching Sarawak, SK Permatang Pelanduk Teluk Intan, SK Sri Kinta Ipoh), sekolah menengah (SMK Seri Intan Ipoh, SMK Syed Sirajuddin Arau), matrikulasi (Universiti Utara Malaysia), universiti (Universiti Utara Malaysia) dan maktab (IPDA, Jitra), terima kasih kerana mendidik TeYan sehingga TeYan juga bergelar seorang pendidik. Jasa kalian semua tidak termampu untuk dibalas.

Kepada semua rakan-rakan seperjuangan yang bergelar guru, berbanggalah kita sebagai guru. Biarlah pekerjaan kita ini tidak setinggi mana, tidak semewah mana, tetapi ilmu yang kita ada ini amat tnggi nilainya kepada anak didik kita. Jadilah guru yang kreatif dan inovatif. Ikhlaskan segala ilmu kita. 

Untuk hero dan heroin TeYan, mama akan berusaha untuk menjadi guru yang terbaik dalam kehidupan kalian. Semoga anak-anak mama berjaya dunia dan akhirat. 

Dan teristimewa sekali untuk ibu tercinta dan arwah abah yang menjadi guru terbaik untuk hidup TeYan dan adik-adik semua sehingga kami semua berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Selamat Hari Guru: Guru Pencetus Kreativiti Penjana Inovasi

Saya Bangga Saya Seorang Guru








No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...