Assalamualaikum w.r.t
Jumaat, 6 Januari 2012, hari ketiga sesi persekolahan berlangsung dengan keadaan yang tenang. Tradisi sekolah masih diteruskan dengan membaca surah Yassin pada setiap pagi Jumaat. Mudah-mudahan hari-hari seterusnya akan diberkati oleh Allah S.W.T.
Namun hari ini, Te-Yan berasa sangat kagum dengan pelajar kelas 5ICT tahun ini. Kagum kerana mereka rupanya mahir menggunakan Bahasa Melayu dengan begitu baik sekali. Cuba lihat entri mereka dalam laman Facebook kumpulan ini.
Tidak sangka pula, gurauan dalam kelas semalam dijadikan satu pembakar semangat untuk mereka memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu.
Alkisahnya begini, mereka semua adalah pelajar-pelajar tingkatan 5ICT pada tahun ini. Te-Yan merupakan guru subjek ICT mereka. Te-Yan ada kelas bersama-sama mereka semalam. Sambil mengajar topik "Programming", sambil itu juga Te-Yan ada menyelitkan sedikit nasihat kepda mereka.
Te-Yan menegur penggunaan ayat dan perkataan yang selalu mereka gunakan dalam membalas komen rakan-rakan di Facebook. Biasalah anak-anak remaja zaman siber kini yang amat "MAHIR" menggunakan bahasa "SMS" atau "SHORT FORM". Klik SINI untuk melihat entri berkaitan dengan penggunaan bahasa
"SMS" ini. Mana tidaknya, jika selalu sangat menggunakan perkataan sebegini, tidak mustahil sekiranya dalam karangan Bahasa Melayu akan ada juga sedikit sebanyak terselit perkataan ringkas tersebut. Jika sedemikian peratusan untuk mendapat markah yang tinggi dalam karangan Bahasa Melayu adalah sangat rendah. Terkejut juga Te-Yan bila melihat hampir separuh dari pelajar kelas ini yang GAGAL dalam Bahasa Melayu pada Peperiksaan Pertengahan Tahun 2011.
Te-Yan memberi contoh penggunaan ayat Bahasa Melayu yang digunakan oleh anak Te-Yan yang sudah memasuki Tahun 2. Umur anak Te-Yan baru 8 tahun. Tapi secara jujurnya Te-Yan katakan bahawa anak Te-Yan ini memang menggunakan ayat Bahasa Melayu dalam percakapan seharian. Bukan ingin berbangga, tetapi hakikatnya begitu. Mungkin disebabkan anak Te-Yan menonton rancangan kegemarannya National Geographic Wild, TVIQ, Disney Channel, Disney Junior yang dialih bahasa ke Bahasa Melayu. Jadi banyak juga perkataan-perkataan Bahasa Melayu yang pandai anak Te-Yan gunakan.
Salah satunya seperti ini :
Te-Yan : Apa perasaan Firdaus bila ambil hadiah kat pentas tu ?
Firdaus : Oh, Firdaus berasa sungguh gemuruh dan gementar.
Te-Yan ingin ketawa juga bila anak Te-Yan memberi jawapan sebegitu. Tapi dalam hati rasa bangga pula sebab dia tahu menggunakan perkataan tersebut.
Te-Yan juga pernah mendengar sendiri anak Te-Yan berbual bersama rakan sebayanya. Kebanyakan rakan sebayanya menggunakan bahasa pasar seperti "hensem", "best", "cute" , tetapi Firdaus menggunakan perkataan "kacak", "seronok", "comel", "hebat", "handal" .
Kadangkala ketawa juga melihat telatahnya sekiranya berbual bersama dengan adiknya. Memang ayat penuh Bahasa Melayu.
Te-Yan tidak sangka pula anak Te-Yan itu dijadikan "ILHAM" kepada pelajar ICT Te-Yan dalam meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu mereka.
Walaupun Te-Yan mengajar ICT dalam Bahasa Inggeris, tetapi setidak-tidaknya kita masih boleh menggunakan Bahasa Melayu dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pastinya hasrat Kementerian Pelajaran untuk Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris [MBMMBI] dapat dilaksanakan dengan baik.
No comments:
Post a Comment