Demi masa...
Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan...
Yang beriman dan beramal soleh
Demi masa...
Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan...
Nasihat kepada kebenaran dan kesabaran
Gunakan kesempatan yang masih diberi
Moga kita takkan menyesal
Masa usia kita jangan disiakan
Kerna ia takkan kembali
Ingat lima perkara, sebelum lima perkara
Sihat sebelum sakit
Muda sebelum tua, kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit
Hidup sebelum mati
Assalamualaikum w.r.t
Rasanya semua pernah melihat dan mendengar lirik di atas. Jadi post kali ini Te-Yan cuma untuk membicarakan tentang masa. Hari Jumaat yang lalu, Te-Yan rasa majoriti menonton pertandingan akhir Maharaja Lawak di Astro. Tapi Te-Yan tak dapat tengok Maharaja Lawak tersebut disebabkan kat umah Te-Yan tak melanggan channel astro tersebut. Tapi Te-Yan menonton satu drama di Astro Oasis. Tajuk ceritanya "Demi Masa". Jalan cerita yang menyentuh perasaan. Menceritakan kepincangan ketua keluarga yang gagal untuk menjadi seorang suami dan ayah yang baik. Menceritakan kesetiaan dan kepatuhan seorang isteri terhadap si suami walaupun sikap si suami banyak melukakan hati dan perasaannya dan tidak menjalankan kewajipan terhadap PenciptaNya. Menceritakan kisah anak-anak mereka yang menjadi mangsa seseorang yang berdendam terhadap ayah mereka.
Sungguh menyentuh perasaan jalan ceritanya. Sesuai dengan tajuk ceritanya Demi Masa. Jika kita menghayati lirik lagu kumpulan Raihan di atas kita boleh merungkaikan segala-galanya tentang masa. Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara. Sihat sebelum sakit. Muda sebelum tua. Kaya sebelum miskin. Lapang sebelum sempit. Hidup sebelum mati.
Hargailah diri kita seadanya. Kita tidak tahu bila Allah akan menurunkan sakit kepada kita. Kalau Allah menghendakkannya, sebagai hamba kita seharusnya redha. Te-Yan pernah merasa bila nikmat berjalan ditarik sekejap oleh Allah. Ya-Allah sakitnya hanya Allah yang tahu. Sehingga kini walaupun boleh berjalan semula, tetapi Te-Yan masih perlu mendapatkan rawatan di hospital. Masih perlu menjalani fisioterapi sehingga betul-betul pulih.
Setiap orang pasti menempuh hari tua. Jadi di usia masih muda lah kita perlu meningkatkan amal ibadah kita pada Pencipta kita. Belum tentu di hari tua kita mampu untuk melakukan ibadah sebaiknya jika Allah tidak izinkan. Oleh itu sama-sama lah kita beringat. Ada kalanya kita terlupa. Tetapi gunakan masa yang ada ini untuk sama-sama berubah ke arah kebaikan.
Kekayaan yang kita peroleh juga adalah nikmat yang diberikan oleh Allah. Tetapi janganlah kita angkuh dengan apa yang kita ada. Kerana pasti satu hari nanti kesenangan itu akan ditarik kembali oleh Allah sekiranya kita tidak pernah bersyukur dan takbur dengan segala yang kita ada. Renungkanlah nasib insan yang kurang berkemampuan. Sesungguhnya Allah menyuruh kita untuk bersyukur di atas segala pemberiannNya supaya kita menjadi insan yang sentiasa beringat siapakah kita sebenarnya.
Hidup ini umpama roda. Yang sentiasa berputar. Ada kalanya kita berada di puncak kejayaan. Dan ada kalanya kita pasti temui kegagalan. Jadi sentiasalah kita berhati-hati dengan apa sahaja yang kita lakukan. Kelapangan yang kita perolehi jika tidak dipraktikkan dengan sebaiknya, pasti kesempitan yang kita perolehi.
Setiap insan pasti akan menempuh alam kematian. Itu sudah termaktub sejak azali. Cuma kita tidak tahu bilakah masanya kita akan menghadap Allah Yang Maha Esa. Tidak salah kita mengingati mati. Kerana kematian itu adalah pasti. Gunakanlah kesempatan yang kita ada untuk meningkatkan amal kebaikan kita. Mudah-mudahan pemergian kita dalam keimanan.
Wallahualam.