Sunday, July 24, 2011

Bila Anak-anakku Bercerita.....

Assalamualaikum w.r.t


Permata Hatiku, Izz dan Izzah. Gambar sewaktu Izzah masih kecil....


Pagi Ahad yang indah hari ini. Hari ini Te-Yan sekeluarga pergi membeli-belah di Tesco. Sebelum itu, hubby Te-Yan tinggalkan Te-Yan dan anak-anak di sebuah restoran mamak di Nilai. Te-Yan, Firdaus dan Izzah nak bersarapan dahulu sementara abah nya pergi selesaikan segala hutang piutang. Firdaus nak makan roti bom sementara adiknya Izzah nak makan mee goreng. Jadi Te-Yan buat pesanan roti bom dan mee goreng. Ditambah dengan teh ais tiga gelas. Bila makanan dah ada di atas meja, mesti baca doa makan dahulu. Kali ini adiknya Izzah yang baca doa makan. Alhamdulillah lancar bacaannya. Seronok bila melihat anak-anak makan dengan amat berselera. Bila sudah selesai, kami bertiga berbual-bual sambil menunggu abah mereka datang. Inilah perbualan yang yang berlaku antara kami. 

Izzah: Mama, adik makan sampai habis ni kan mama. Mesti Allah sayang adik sebab adik makan tak bazir-bazir.
Mama: Bagus adik. Macam tu lah. Allah mesti sayang adik sebab adik makan tak membazir.
Firdaus : Ala, Firdaus pun makan tak membazir juga. 
(Tak nak kalah juga abangnya)
Mama : Ye, Firdaus pun sama. Allah pun sayang Firdaus juga sebab tak membazir. 
(Tapi yang menghabiskan makanan mereka mestilah Te-Yan juga. Tapi kita kenalah pandai mengambil hati anak-anak supaya mereka gembira)


Izzah : Mama, kalau Allah sayang adik, nanti adik mesti masuk syurga kan mama?
Mama: Mestilah sayang. Kalau adik selalu buat perkara yang baik-baik, mesti adik masuk syurga. Dalam syurga ada apa?
Izzah: Syurga kan cantik. Ada sungai. Ada pokok cantik-cantik. Boleh duduk kat sana kan, mama. Tapi kat neraka ada api. Sapa suka buat perangai nanti masuk api neraka. 
(Ha, petah sungguh si adik berkata-kata)


Mama: Betul lah tu. Kalau selalu lawan cakap mama dan abah, selalu buat perangai nanti Allah marah. Nanti malaikat akan catat apa kesalahan kita buat kat bahu sebelah kiri tu. Kalau banyak buat salah, nanti Allah tak sayang kita.
(Masing-masing mengangguk. Faham agaknya)


Firdaus: Mama, Firdaus ada baca dalam satu buku pasal kena jaga ibu kalau sakit.
Mama: Buku tu cakap apa ?
Firdaus: Buku tu kata, kalau ibu kita sakit, anak-anak mesti jaga ibu dia. Contohlah kan, kalau mama sakit, Firdaus dengan Izzah kena jaga mama gilir-gilir. Kalau Firdaus nak pergi solat kat masjid, Izzah kena jaga mama pula. Lepas tu, kalau Izzah nak pergi solat kat masjid pula, Firdaus pula jaga mama. 
Mama: Bagus anak-anak mama nie. Lepas tu kena buat apa?
Firdaus: Lepas tu Firdaus kena mandikan mama, kena suapkan mama makan. Kena usap-usap rambut mama. 
Izzah : Adik pun sama nak jaga mama. Adik baca doa kat mama. Adik suap mama. Adik sayang mama.
Mama: Macam tu lah anak-anak mama. Kalau Firdaus dan Izzah sakit, siapa jaga?
Firdaus: Mama
Izzah : Mama jaga adik kat hospital.
Mama : Sebab tu anak-anak mama kena dengar cakap mama dan abah. Kalau mama marah, mesti ada sebab. Bukan suka-suka mama nak marah anak mama tau. Kalau kita dah buat salah kita mesti selalu minta maaf. Faham tak?
Firdaus : Faham mama
Izzah : Adik faham mama. Mama sayang adik ?
Mama : Mestilah mama sayang adik dan abang. Sebab tu jangan bagi mama marah tau. 


Bicara dari mulut mereka yang mungil itu benar-benar buat Te-Yan terharu. Te-Yan pun tidak sangka Firdaus membaca satu majalah yang Te-Yan beli itu yang menceritakan tentang apa yang anak-anak perlu buat sekiranya ibu sakit. Mudah-mudahan anak-anak Te-Yan menjadi anak yang soleh dan solehah. 


Moral : Sesungguhnya anak-anak itu anugerah Allah yang paling berharga. Didiklah mereka sebaik mungkin supaya mereka mendapat keteguhan iman. 

2 comments:

hari ini & esok lebih baik dari semalam....... said...

terharu dengar ke[etahan diorang.. tahniah! kak yan pandai didik anak..

Te-Yan said...

Tenkiu Mira. Sebenarnya kak yan agak garang dengan anak. Ayahnya cool sikit. Tapi mesti ada pro and cons kan. Kak yan pun tak sangka anak-anak boleh berkata begini. Terkedu mendengarnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...