Te-Yan amat tertarik dengan majalah Solusi : Isu 34 keluaran Julai. Tajuk yang amat menginsafkan Te-Yan. "Andainya Ini Ramadhan Terakhir, Layakkah Kita Berhari Raya". Terfikir di minda dan hati ini, bersyukur sekiranya Allah masih memberi peluang kepada Te-Yan untuk sama-sama menghayati Ramadhan pada tahun ini. Namun jika sebaliknya, bagaimana pula nanti ? Jika kita masih diberi kesempatan oleh Ilahi untuk bersama-sama di Ramadhan tahun ini, gunakanlah peluang yang ada sebaik mungkin untuk memenuhi Ramadhan dengan ibadah yang optimum.
Wajib Puasa
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Berpuasalah kalian jika telah melihat hilal (anak bulan) dan sudahilah puasa kalian jika telah melihat hilal lagi. Jika tidak nampak akannya, maka genapkanlah hitungan Syaaban menjadi 30 hari."
(Riwayat al-Bukhari)
Niat Puasa
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum terbit fajar, maka tidak ada puasa baginya."
(Riwayat Abu Daud)
Bersahur
Anas meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Bersahurlah, kerana pada sahur itu ada keberkatan."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Syaitan Dirantai
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Apabila bulan Ramadhan tiba, pintu-pintu syurga dibuka, sedangkan pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan pun dibelenggu."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Segerakan Berbuka
Daripada Sahl bin Sa'ad, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka mahu menyegerakan berbuka."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Memberi Makan Berbuka Orang yang Berpuasa
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti yang diperoleh orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut."
(Riwayat al-Tirmizi dan Ahmad)
Solat Tarawikh
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku benar-benar mengetahui keadaan kalian, hanya sahaja aku khuatir kalau aku keluar untuk solat Tarawikh, maka solat tersebut akan diwajibkan kepada kalian sehingga kalian tidak mampu mengerjakannya."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jangan Sekadar Beroleh Lapar dan Dahaga
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Berapa ramai orang yang berpuasa hanya mendapat rasa haus dan lapar."
(Riwayat Ibn Majah)
Tadarus
Rasulullah s.a.w menceritakan bahawa Jibrail a.s membacakan kepadanya al-Quran setiap tahun sekali pada bulan Ramadhan, dan pada tahun kewafatan Baginda sebanyak dua kali.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Iktikaf
Ibn Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Rasulullah s.a.w beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadhan."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Syafaat di Akhirat
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:" Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat kelak."
(Diriwayatkan oleh Ahmad dan Hakim)
Bulan Pengampunan
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :" Sesiapa yang berpuasa Ramadhan atas dasar iman dan mengharap reda Allah, maka dosa-dosanya yang telah berlalu akan diampunkan. Sesiapa yang melaksanakan qiyam Ramadhan atas dasar iman dan mengharap reda Allah, maka dosa-dosanya yang telah berlalu akan diampunkan. Sesiapa yang melakukan qiyam Lailatulqadar atas dasar iman dan mengharap reda Allah, maka dosa-dosanya yang telah berlalu akan diampunkan."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Lailatulqadar
Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar itu? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu,turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuham mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang membawa berkat) itu hingga terbit fajar !" (Surah al-Qadr 97:1-5)
Nuzul al-Quran
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Bulan Ramadhan, bulan yang padanya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)"
(Surah al-Baqarah 2:185)
Pintu al-Rayyan
Daripada Sahl bin Sa'ad, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya di Syurga itu terdapat satu pintu yang diberi nama al-Rayyan. Dari pintu itu,orang yang berpuasa akan masuk pada hari kiamat kelak. Tidak ada seorang pun selain mereka yang masuk melalui pintu itu.Kemudian, jika mereka telah masuk, pintu akan ditutup sehingga tidak ada seorang pun yang masuk melalui pintu itu."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hari Raya Aidilfitri
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : "Sesiapa menghayati malam Hari Raya Aildilfitri dan malam Hari Raya Aidiladha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata, hatinya tidak akan mati seperti orang kafir."
(Riwayat al-Tabarani)
Zakat Fitrah
Ibn Umar berkata: "Rasulullah s.a.w telah mewajibkan zakat fitrah (kepada umat Islam pada bulan Ramadhan)."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
No comments:
Post a Comment